Tuesday, 8 October 2013

Benarkah Rasulullah S.A.W. itu BUTA HURUF? ATAU IANYA SATU FITNAH!

Benarkah Rasulullah S.A.W. itu BUTA HURUF? ATAU IANYA SATU FITNAH! (www.prihatin.net.my)
 
SIAPA BUTA HURUF DI SISI ALLAH Nabi s.a.w. itu seorang Al-Ummiy (buta huruf) betul ker? Habis tu bagaimana Baginda membaca? Ini satu lagi isu menarik yang sela...lu kami utarakan namun ramai yang tidak perasan. Setelah kami halusi dengan teliti maka satu lagi fenomena salah tentang ciri kenabian yang diajarkan kepada kita sejak kecil kami temui. Ya betul Rasulullah s.a.w. al Ummiy. Kekeliruan kita ialah APA ITU AL-UMMIY? Kekeliruan yang mengatakan nabi itu orang miskin papa, orang buta huruf yang tidak pandai membaca dan menulis jauh bercanggah dari ciri dan sifat sifat kenabian dan kerasulan. Semua kita tahu bahawa Siddiq (benar), Amanah (jujur), Tabligh (menyampai) dan Fatonah (bijaksana) itu adalah sifat sifat rasul Allah. Meneliti dakyah kristianiti yang merasuk anak anak kita antaranya ialah mereka merasa rendah diri bila di ejek nabi mereka orang bodoh dan buta huruf. Secara tidak lansung agama yang dibawa juga diperlekehkan. Walhal hakikat sebenarnya tidak begitu. Dengan fenomena ini, tidakkah kita rugi kredit dari segi kehebatan rasul dan agama kita sendiri? SIAPA KELUARGA BESAR NABI? Nabi dari keluarga ternama, bukan keluarga miskin seperti yang diajar di sekolah rendah pada anak anak kita. Menurut riwayat serangan Kaabah oleh tentera Abrahah, Abdul Muttalib nenda baginda adalah Penguasa Mekah ketika itu. Diriwayatkan bahawa tentera Abrahah terkejut kerana yang beliau tuntut dari Abrahah hanyalah ratusan unta yang dirampas. Beliau memilih untuk membiarkan saja serangan ke atas Kaabah kerana Allah yang memelihara dan akan mempertahankannya. Kaya dan berpengaruh tak nenda baginda? Abu Lahab yang kaya raya itu ialah Bapa Saudara nabi. Abu Jahal penguasa Mekah yang memusuhi nabi juga adalah Bapa Saudara Sepupu baginda sendiri. Abu Talib yang mempertahankan nabi dengan kuasa dan pengaruh yang ada pada dirinya hingga beliau wafat juga bapa saudara baginda. Kesemua mereka yang kaya dan berpengaruh itu telah turut meraikan kelahiran Nabi sepertimana yang diriwayatkan dalam Barzanji. Soalnya, Tidak mungkinkah mereka yang kaya raya dan berkuasa ini sponsor anak saudara yatim mereka itu? Tiadakah ada bahagian kekayaan nenda nabi yang turun kepada ibunya atau kepada cucunya, terutama setelah jadi yatim kematian bapa? HAKIKAT BUTA HURUF ZAMAN JAHILIYAH Fitrah Allah telah menetapkan bahawa para anbiyak lapis pertama datang dari golongan bangsawan dari segi kuasa atau harta, namun buta huruf tentang agamaNya. Kita lihat fenomena zaman ini, memang lazimnya orang atasan akan lupakan agama, namun anak anak mereka semua di hantar ke sekolah antarabangsa. Mana mungkin boleh tidak kenal alif, ba, ta. Mudahnya, Para nabi melalui saat jahiliyah sepanjang hidup bersama keluarganya dan Allah jadikan itu sarana untuk mereka membuka mata dan hati membetulkan kaumnya. Bukan itu saja, malah utusan pemberi peringatan hanya akan diutus bilamana situasi sudah sangat parah di mana bukan hanya nabi, malah SELURUH KAUM, rakyat dan pemimpin sudah menjadi jahil dan buta huruf, seperti firman Allah ini. “Dia-lah yang mengutus kepada KAUM yang BUTA HURUF seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”: Surah 62. Al Jumu'ah, 2. Sepertimana yang kami nyatakan tadi, dalam firman berikut, Allah jelaskan situasi apakah hakikat buta huruf itu. Itulah situasi di mana seluruh kaum sudah dalam keadaan AGAK-AGAK saja dalam SOAL AGAMA mereka. “Dan diantara mereka ada yang BUTA HURUF, tidak mengetahui Al Kitab, kecuali dongengan bohong belaka dan mereka hanya menduga-duga”: Surah 2. Al Baqarah 78. Waktu inilah ramai orang suka mengambil kesempatan untuk menulis kitab dan menjualnya. Semakin hari manusia semakin jauh dari kitab Allah kerana ia sudah tidak difahami aplikasinya sama sekali. Semua ayat Allah harus di check dengan kitab manusia, akan dikaitkan pula dengan asbab nabi, sehingga banyak yang dikatakan tidak sesuai untuk digunapakai waktu ini. Pilihan yang ada ialah kitab-kitab tulisan manusia. Baca fakta ini di ayat berikutnya : Surah 2. Al Baqarah 79. JAHILIYAHNYA KELUARGA RASUL Rasulullah s.a.w. lahir ketika masyarakat Arab dalam kondisi jahiliyah walaupun Islam sudah ada sejak Ibrahim a.s. lagi. Lihatlah bagaimana nenda baginda mementingkan harta berbanding mempertahankan Mulkiyah Allah itu sendiri apabila diserang tentera bergajah. Di tahun gajah itulah nabi lahir. Itulah sejarah pilu yang membuka matahati baginda, hasil polisi pemimpin dari kalangan keluarganya sendiri. Perbandingan standard kehidupan Orang Arab Quraisy di Mekah sewaktu kelahiran nabi dengan keluarga Halimah ibu susuan baginda ibarat orang Putrajaya berbanding orang Hulu. Setiap bayi yang lahir di Mekah dicarikan ibu susu dan amah dari hulu. Atas memenuhi standard itu jugalah nabi melalui pengalaman hidupnya selama lebih 4 tahun di desa. Jika bahasa anak putrajaya guna singkatan SMS atau bahasa rempit yang kita tidak faham, di desa itu baginda dilatih untuk petah berbicara dengan bahasa pidato. Mungkinkah baginda buta huruf macam yang dimomokkan ceritanya kepada kita? Mari kita teliti beberapa personaliti golongan anbiyak lapis pertama. Adam a.s. itu dari golongan atasan, hidup bersama malaikat di syurga. Apabila turun ke bumi baginda tersedar dan mendapat ilmu khas tentang nama nama asas oleh Allah. dengan ilmu itu Adam diperintah mengajarkan para malaikat. Di sisi Syaitan Baginda adalah buta huruf kerana syaitan ketuanya di syurga sana lebih pandai dari baginda. Ibrahim a.s. dari keluarga pembuat berhala yang ada kuasa, pengaruh dan ternama. Kehidupan bersama keluarga ini membuka mata hati Ibrahim a.s. tentang hak dan batil. Lalu baginda berusaha mencari tuhannya sepenuh daya. Di mata mereka Ibrahim itu buta huruf, tidak layak bercerita soal agama kerana bapanya pun pencipta berhala. Musa a.s. itu anak angkat Firaun yang hidup di Istana. Apa yang dilihat dalam istana itu menjadi aspirasi baginda untuk mencari yang hak dan menolak kebatilan. Begitu juga kisah Syuib yang diancam kaumnya, terselamat hanya kerana pengaruh keluarganya. Banyak lagi contoh lain dan ini sekadar contoh saja. Perhatikan ayat ayat berikut, “Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir dari kaumnya: ‘Kami tidak melihat kamu (Noh), melainkan seorang manusia biasa seperti kami, dan kami tidak melihat orang-orang yang mengikuti kamu, melainkan orang-orang yang hina dina di antara kami yang lekas percaya saja, dan kami tidak melihat kamu memiliki sesuatu kelebihan apapun atas kami, bahkan kami yakin bahwa kamu adalah orang-orang yang dusta.’": Surah 11. Huud; 27. “Mereka berkata: ‘Hai Syu'aib, kami tidak banyak mengerti tentang apa yang kamu katakan itu dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah (agamanya) di antara kami; kalau tidaklah karena KELUARGAMU tentulah kami telah merajam kamu, sedang kamupun bukanlah seorang yang berwibawa di sisi kami.’" : Surah 11. Huud 91. Hina dinanya para nabi di mata manusia kerana apabila para nabi yang bukan dari latarbelakang agama ini mula bercakap soal agama. Di situlah timbulnya isu buta huruf, anak orang kaya atau kenamaan yang jahil tapi nak bercakap soal agama. Kita ambil contoh anak YAB Perdana Menteri atau Putera Raja yang selama ini hidup bermewah mewah lalu nak bercakap soal agama. Pada masa yang sama bersepah isu sosial diri dan keluarga mereka dipaparkan di internet. Apa manusia akan kata? Kamu ini alif baa taa pun tak habis tapi nak cakap soal agama betul tak? Apakah benar mereka ini buta huruf? Hari ini ramai YB, MP bukan Islam berkempen dengan membaca quran dan buat fatwa… mahukah kita terima? Adakah mereka ini buta huruf? SIAPA NABI SEBELUM JADI RASUL? Dengan sifat amanah dan gelaran al-Amin, Nabi diberi amanah untuk memegang kunci kaabah oleh Abu Jahal sebelum baginda letak jawatan dan meninggalkan kota Mekah dan bertahanuth di gua hira’ mencari kebenaran. Jika ciri kepimpinan dan kebijaksanaan itu tidak ada pada nabi, mungkinkah baginda diberi amanah itu? Baginda juga telah ikut Abu Thalib berniaga keluar negeri seusia 12 tahun ke Yathrib, Syam dan Yaman. Seusia 15 tahun baginda telah jadi komanden perang Fijr. Seusia 25 tahun sudah dilantik menjadi presiden NGO bernama Hizbulfudul. Berbagai bagai kehebatan dan ketokohan yang diperhatikan umum sehingga Baginda dilantik sebagai pengurus perniagaan, bahkan kemudiannya di pinang menjadi suami wanita kaya, Khadijah r.a. Dengan kehebatan peribadi dan keturunan baginda itu, masih ada ruangkah bagi nabi untuk jadi insan yang tidak kenal huruf? Jikapun pada awalnya tidak kenal huruf, tidakkah dengan kecerdasan baginda mudah saja untuk baginda kenal huruf pada usia 40 tahun? Cuba perhati keliling kita… Boleh kita bayangkan bagaimana dungunya individu yang benar-benar tidak kenal huruf? Mungkinkah Abu Jahal dan sekalian kaum juga tidak kenal alif ba ta? KESIMPULAN Nabi buta huruf kerana tidak tahu menjabarkan kitab. Kerana itu mustahil baginda mampu menulis dan mengolah kitab. Jadi, doktrin dakwah baginda adalah tulin dari hasil iqra’ yang bijak akan kondisi KAUM. Iqra’ (kaji) banyak guna fungsi otak kanan, tilawah (mengaji) banyak guna otak kiri. Wahyu hadir hasil iqra’ (surah 96 al-Alaq) yang kemudiannya dicatatkan (surah 68, al-Qalam) menjadi bahan tilawah untuk dikongsikan dengan kaumnya. Inilah beza IQRA’ berbanding Tilawah. Kedua-duanya bermaksud BACA? Iqra itu KAJI KONDISI dan tilawah itu MENGAJI TULISAN. Hasil iqra dari tawaf dan saie kita seharusnya boleh mencukur cetusan otak kanan yang selama ini bersifat sangka-sangka. Lepas itu lakukan pembaikan bacaan tilawah otak kiri selepas tahlul. Semuga tumbuh rambut (Hujjah) baru dari KEPALA kita selepas haji nanti. BETULKAN minda anak anak kita agar mereka boleh berbangga bahawa rasul kita adalah insan cerdas pintar dari keluarga ternama, bukan buta huruf dan papa kedana sepertimana yang kita sangka. Hasil iqra’ WARGA PRIHATIN. P/S: Soalan yang sama dari beberapa pembaca kami paste di sini untuk pembaca yang terkemudian. Najib Azmi : Assalamualaikum, saya tidak pasti sama ada saya tersalah faham penulisan pihak warga prihatin, tetapi adakah tuan menyatakan bahawa hakikatnya Rasulullah SAW tidak buta huruf. Kalau begitu, bagaimana dengan riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW berkata "maa ana bi qari" berkali-kali (aku tidak boleh membaca) apabila Jibril AS bertemunya di gua hira' dan berkata kepadanya "iqra" (bacalah) serta semasa perjanjian hudaibiah yang mana Rasulullah SAW meminta Ali bin Abi Talib RA untuk menunjukkannya perkataan 'Rasulullah' dalam kertas perjanjian tersebut kepadanya supaya Rasulullah SAW sendiri boleh memotongnya (Ali RA enggan memotongnya) atas permintaan negotiator pihak quraisy? Warga Prihatin : Terima kasih Najib Azmi Satu usul yang baik. Kami akan cuba kupas satu persatu mengikut perenggan insyaallah. Kalau ada fakta tambahan bolehlah di usul semula. Sebelum itu, bolehkah anda terima fakta yang dihurai dari firman dan sirah nabi di artikel di atas? Ma (apa atau apa yang) ana (aku) bi (dengannya) qori (nak baca). Itu bukan bermaksud “aku tak boleh baca”. Seperti dalam firman Allah di artikel, bahawa kitab waktu itu sudah tidak difahami IQRA'nya atau penjabaran / penjelasannya oleh seluruh kaum, termasuklah baginda. Itu bukan tilawah. Yang kita faham buta huruf (ummiy) itu tilawah. Riwayat yang baginda suruh Ali r.a. ubah tulisan ada takwilnya. Pertama itu riwayat manusia. Iqra' kami pula ialah tiada sultan atau perdana menteri yang tulis surat sendiri melainkan PA atau S/U mereka yang buat. Dalam banyak hal baginda lebih hebat dari ummat namun kita terlepas pandang, contohnya baginda minta tahanan yang menghafal, sahabat yang menulis wahyu, baginda kata tauhid Abu Bakar yang lebih tinggi... walhal baginda lebih hebat lagi. Bukan baginda tidak boleh menghafal, tidak boleh menulis, tidak kuat tauhidnya. Selaku komanden perang, Dalam perang Badar baginda berada di barisan paling hadapan dan sahabat di belakang, Baginda atur barisan pun dengan muncung pedang ke perut sahabat. Dalam khutbah Wida’ baginda berpidato di hadapan 100,000 jemaah, pidato baginda sampai timbul urat leher. Namun kita difahamkan baginda itu orang yang lemah lembut, tidak gagah berani dan tegas. Ini sekadar beberapa contoh. Apa pun jangan ambil ini secara bulat bulat. Buatlah kajian sendiri dan teruskan dengan furqon anda. Kami hanya beri cetusan sahaja.
 
P/S: PERBAHASAN DI LAMAN SOSIAL ~ SILA KLIK
 
 

No comments:

CINTA ITU DUSTA

SILA KLIK/PLEASE CLICK